Cherating, satu nama yang tidak asing di negara ini kerana pantai itu merupakan lokasi utama pelancong domestik dan luar negara menghabiskan percutian mereka di tepi laut. Tidak hairanlah ramai pelancong memilih destinasi yang terletak dekat Kuantan, Pahang itu untuk bercuti. Faktor terdapat banyak jenis penginapan turut menggamit pelancong, antaranya Impiana Resort Cherating. Bertaraf empat bintang, Impiana Resort Cherating menjanjikan percutian menyeronokkan, selain menyajikan pemandangan Laut China Selatan yang terbentang luas. Untuk sampai ke sana, kita perlu memandu kira-kira 45 minit dari Kuantan. Dari Kuala Lumpur pula, perjalanan mengambil masa dua jam 30 minit dengan menempuh Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), sebelum susur keluar di persimpangan Jabor. Pengurus Bahagian Penginapan Impiana Resort, Noraini Ahmad berkata, resort itu mempunyai kapasiti 104 bilik iaitu 56 bilik deluxe , 40 bilik superior deluxe dan lapan suite . Menurutnya, hiasan dalaman resort yang diberi sen...