MELANCONG ke luar negara bersama teman rapat memberikan pengalaman menakjubkan, apatah lagi melancong ke luar negara hanya dengan memandu kenderaan sendiri seperti yang saya lakukan bersama rakan karib saya ke Phuket, Thailand.
Perjalanan yang memakan masa kira-kira 15 jam dari Kuala Lumpur menuju ke destinasi memberikan kami pengalaman menarik dengan menyajikan pemandangan yang sangat memukau.
Setibanya di Phuket, kami mencari tempat menginap murah dan hampir dengan pantai. Tetapi cabaran yang kami perlu tempuh adalah mendapatkan makanan halal. Dengan layanan dan bantuan baik penduduk tempatan, kami dapat mengenal pasti restoran halal berdekatan tempat kami menginap.
Hari pertama kami di Phuket digunakan hanya untuk menikmati keindahan pantai dan merehatkan minda memandangkan terlalu lama berada di dalam kereta.
Keesokannya, kami memandu di sekitar bandar Phuket dan pesisir pantai yang lain. Memang tidak dinafikan, Phuket merupakan sebuah bandar yang hidup dan penuh dengan kesibukan pelancong luar negara.
Di sebelah petang, kami memandu ke hujung pulau Phuket untuk menikmati keindahan matahari terbenam. Kami sangat terpukau melihat ciptaan Tuhan dengan udara yang segar, pantai yang cantik ditambah pula pemandangan bukit-bukau sekitar yang menghijau.
Kesempatan itu kami tidak lepaskan begitu sahaja. Banyak gambar yang sempat dirakam sambil berbual sesama kami tentang pengalaman menakjubkan sepanjamg penjelajahan kami di bumi gajah putih ini.
Pada malam terakhir sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami memutuskan untuk membeli-belah termasuk mendapatkan cenderamata untuk dijadikan kenangan yang boleh dikongsikan bersama rakan-rakan.
Sebelum pulang juga, kami sempat menikmati makanan tempatan seperti pulut mangga, tom yam dan makanan lain yang kami anggap sangat unik.
Selesai makan, kami meninggalkan Phuket menuju ke Kuala Lumpur dengan penuh keterujaan. Apa yang pasti, Phuket merupakan destinasi yang sudah tentu kami akan lawati lagi pada masa akan datang.
best
ReplyDelete