Cherating, satu nama yang tidak asing di negara ini kerana pantai itu merupakan lokasi utama pelancong domestik dan luar negara menghabiskan percutian mereka di tepi laut.Tidak hairanlah ramai pelancong memilih destinasi yang terletak dekat Kuantan, Pahang itu untuk bercuti. Faktor terdapat banyak jenis penginapan turut menggamit pelancong, antaranya Impiana Resort Cherating.Bertaraf empat bintang, Impiana Resort Cherating menjanjikan percutian menyeronokkan, selain menyajikan pemandangan Laut China Selatan yang terbentang luas.
Untuk sampai ke sana, kita perlu memandu kira-kira 45 minit dari Kuantan. Dari Kuala Lumpur pula, perjalanan mengambil masa dua jam 30 minit dengan menempuh Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), sebelum susur keluar di persimpangan Jabor.Pengurus Bahagian Penginapan Impiana Resort, Noraini Ahmad berkata, resort itu mempunyai kapasiti 104 bilik iaitu 56 bilik deluxe, 40 bilik superior deluxe dan lapan suite.Menurutnya, hiasan dalaman resort yang diberi sentuhan tradisional Melayu membuatkan pengunjung seolah-olah kembali ke zaman silam.
Perabot Klasik
Katanya, pihak pengurusan resort memilih pendekatan itu dengan mengekalkan hiasan perabot kayu klasik di setiap ruang bilik termasuk katil serta lantai kayu bertujuan memberi ruang kepada tetamu menikmati percutian di lokasi yang eksotik, jauh dari persekitaran biasa.
"Keunikannya adalah tetamu di resort ini boleh melihat terus pemandangan laut dari balkoni bilik masing-masing. Ini kerana kesemua bilik dibina menghadap ke arah pantai.
"Setiap bilik mempunyai kemudahan seperti televisyen, internet tanpa wayar (WiFi), cakera padat digital (DVD), penyaman udara, pemanas air, peti sejuk mini serta ruang tamu bagi bilik superior deluxe dan suite," katanya kepada S2 baru-baru ini.Mengulas harga bilik untuk satu malam, katanya, harga bermula serendah RM180 hingga RM280 dan harga itu amat berbaloi dengan kemudahan yang terdapat di resort tersebut.
Menurutnya, antara kemudahan yang disediakan di Impiana Resort Cherating adalah kemudahan rekreasi seperti kolam renang untuk dewasa serta kanak-kanak, jakuzi, gelanggang tenis, futsal serta perkhidmatan sewa basikal dan kayak.
"Pelbagai aktiviti luar turut disediakan seperti bola sepak pantai, berkayak dan mencanting batik, selain menawarkan pakej lawatan ke perkampungan nelayan, pusat penetasan penyu, menyusuri sungai serta menikmati keindahan kelip-kelip.
"Aktiviti yang disediakan ini sememangnya menjanjikan keseronokan bagi mereka yang ingin lari daripada kesibukan tugasan dan sesuai untuk keluarga, rakan-rakan serta mereka yang datang secara berkumpulan," ujarnya.
Menurutnya, untuk menambahkan keriangan percutian, pihak resort juga mengadakan pertandingan seperti permainan congkak, menganyam tikar, mencipta wau, mengukur kelapa dan memanjat pokok.Katanya, jika bernasib baik, pengunjung berpeluang melihat sendiri kehadiran penyu dengan lebih dekat di kawasan pantai Cherating.
"Penyu akan naik ke pantai ini pada bulan Mei hingga September setiap tahun untuk bertelur," tambahnya.Menurut Noraini, untuk kemudahan makan dan minum pula, resort tersebut menyediakan restoran dan kafe seperti Pool Terrace, Pelita Lounge, The Fun Pub dan Pool Bar.
"Pengunjung berpeluang menikmati hidangan yang disediakan oleh chef yang berpengalaman luas," katanya.
Beliau juga berkata, The Fun Pub pula disediakan khusus untuk pengunjung yang menggemari hiburan langsung (live) daripada artis tempatan mahupun antarabangsa."Noraini menjelaskan Impiana Resort Cherating turut menyediakan enam bilik seminar yang mampu memuatkan antara 20 hingga 500 orang dalam satu masa bagi tujuan persidangan, seminar atau majlis keraian.Katanya, sudah semestinya pengunjung tidak tersilap membuat pilihan untuk menginap di Impiana Resort Cherating.
Ini kerana, segala kemudahan di resort tersebut menjanjikan percutian menarik terutama bagi mereka yang menyukai suasana kampung dan angin pantai yang nyaman.
"Dengan persekitaran kampung ditambah suasana bilik yang penuh ketenangan dan romantis, kami yakin, tidak rugi jika kita memilih lokasi ini sebagai destinasi percutian.
"Kami jamin akan memberikan perkhidmatan dan layanan yang mesra supaya tetamu akan sentiasa berasa selesa sepanjang menginap di sini," katanya.
Comments
Post a Comment